25 Februari 2015
Pagi. Bertemankan suami, saya ke Klinik Kesihatan Kangar untuk
rutin pemeriksaan kandungan. Masa scan, Alhamdulillah. Tiada masalah. Kandungan
sihat. Tapi, bila doktor tanya sama ada saya mengalami masalah atau tidak, saya
kata bayi kurang bergerak. Padahal kalau difikirkan logik, memang bayi kurang
bergerak sebab masa tu dah 39 weeks. Bayi dah memenuhi ruang. Dan disebabkan
jawapan itulah, saya dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar!
Prosedur memeriksa denyut jantung bayi berjalan seperti biasa. Bayi
tiada masalah. Bukaan cervix juga tiada. Tapi, saya hingga sekarang masih
berfikir, kenapa doktor suruh saya induce sedangkan saya ada lagi seminggu due?
Bayi saya juga Alhamdulillah, sihat. Suami pada mulanya berkeras untuk membawa
saya pulang. Katanya, belum sampai waktu melahirkan. Bayi masih selesa. Sampai
waktunya nanti, tidak perlu dipaksa. Tapi setelah lama suami berfikir, suami
izinkan, dengan meminta pelepasan sebentar untuk membawa saya makan tengah
hari.
Pukul 2.30 petang, saya check in di Wad Bersalin HTF. Walaupun saya
seorang pegawai kerajaan, tiada keistimewaan wad kelas 1 disediakan kerana wad
bersalin di hospital ini masih dalam proses pembinaan. Mulanya saya dapat bilik
seorang diri, lengkap bilik air. Tapi
mungkin itu bilik rehat para staf wad bersalin, jadi pada pukul 6.30 petang,
saya dipindahkan ke wad biasa. Pukul 9 malam, saya mendapat arahan untuk
berpuasa pada pagi esoknya kerana ubat akan dimasukkan.
26 Februari 2015.
Sebaik sahaja saya selesai mandi pada pukul 7 pagi, saya dipanggil
ke bilik doktor untuk di-induce. Allahu. Sakit yang tidak dapat saya gambarkan.
Hingga hari ini, masih dapat saya rasa kesakitan itu. Selepas dimasukkan ubat,
saya dibenarkan berehat sebentar sebelum diminta balik ke katil semula. Pukul 2
petang, saya dipanggil semula untuk diperiksa bukaan jalan. Masa itu, suami
menunggu saya di luar bilik doktor kerana kebetulan pada waktu melawat. Doktor
kali ini lebih kasar. Saya yakin jeritan saya didengari di seluruh wad. Sumpah.
Sakit! Meleleh air mata, tapi mengenangkan perjuangan untuk melahirkan lebih
memerlukan tenaga, saya cengkam tangan nurse, minta dipinjamkan kekuatan. Air
mata meleleh. Sakit yang tidak terkira. Bila saya keluar, saya dapat lihat
kegusaran di wajah suami. Dengan penuh kasih sayang, dia memimpin saya berjalan
sambil meminta saya bersabar. Katanya, sekejap sahaja lagi, kesakitan itu akan
hilang kerana saya akan bertemu kekasih hati yang sudah 9 bulan saya kandungkan.
Pukul 4 petang, doktor memanggil saya semula untuk memeriksa bukaan
jalan. Baru 3 cm. tapi saya diminta bersedia untuk ke Bilik Bersalin kerana
katanya waktu itu lengang. Tiada orang. Masa itu, Allah je tahu betapa
berdebarnya saya. Saya akan bertemu kekasih saya sebentar lagi! Bagaimana
rupanya? Adakah kulitnya cerah? Adakah matanya bulat seperti mata saya, atau
kecil seperti mata suami? Lebatkah rambutnya? Gebukah badannya? Paling saya
fikirkan, sempurnakah sifat penciptaannya?
Saya diminta untuk membawa sekali pakaian bayi untuk dipakaikan
kepada bayi saya. Jenuh juga saya memeriksa beg baju, memilih pakaian pertama
untuk anak saya. Akhirnya, sepasang baju putih menjadi pilihan sebagai pakaian
pertama untuk anak saya.
Saya telefon suami. Katanya, dia masih di luar Wad Bersalin. Mak
juga ada bersama. Saya telefon, minta mereka masuk temani saya. Kemudian saya
telefon abah di rumah. Maklumkan bahawa saya sudah sedia untuk bertarung nyawa.
Saya mohon ampun dan maaf kepada abah. Saya mohon dihalalkan segala makan minum
yang telah abah beri pada saya sepanjang saat beliau membesarkan saya. Abah
cakap, abah halalkan semua. Abah ampunkan salah silap saya. Abah doakan saya
selamat melahirkan khalifah kecil ini. Kemudian, suami saya masuk. Saya
menangis. Saya cium tangan suami. Saya mohon ampun dan maaf pada suami. Saya
mohon dia redha saya dipilih Allah sebagai isterinya. Sebagai balasan, dia
mengusap kepala saya dan mengiakan semua kata-kata saya. Sebak.
Kata nurse, suami tidak dibenarkan masuk menemani saat pertarungan
dan perjuangan saya nanti. Terkilan rasanya kerana kami sudah merancang untuk
bertemankan suami. Tapi akur juga, kerana itu wad bersalin terbuka. Aurat
wanita lain harus dipelihara dan dihormati. Saya risau. Saya perlukan suami
saya di sisi saya nanti. Kemudian emak saya masuk. Saya buat perkara yang sama.
Ada bisikan yang mengatakan, lepas ni, semuanya akan berubah. Kau akan menjadi
ibu. Kau akan rasa apa yang ibu kau rasa. Selamat datang ke alam keibuan!
Pukul 4.45 petang, saya diiringi nurse ke Bilik Bersalin. Ngeri
rasanya mendengar jeritan dan rintihan wanita lain yang sedang bertarung nyawa.
Pukul 5 petang tepat, doktor datang untuk memecahkan air ketuban. Panas. Saat
itu saya tahu, perjuangan saya bakal bermula!
Sekitar pukul 7 malam, saya mula merasakan apa itu sakit
contraction. Sakit yang datang sekejap-sekejap. Saya mengikut nasihat nurse
untuk menjaga pernafasan. Tidak mampu saya lupa betapa panasnya suasana di
dalam Bilik Bersalin pada waktu itu kerana pendingin hawanya rosak! Saya
mengadu pada nurse bahawa saya panas. 2 orang daripada mereka datang mengipas
saya dengan buku. Diusapnya tangan saya, mohon saya bertenang dan kuat. Peluh
di dahi, mereka yang tolong lapkan. Sehinggalah pada pukul 9 malam, nurse yang
menjaga saya meminta diri untuk pulang dan berdoa agar saya dapat terus kuat
dalam berjuang. Terima kasih, nurse!
Pukul 10 malam, contraction terasa makin kuat. Namun air mata saya
tidak menitis. Bibir tidak berhenti mengucapkan zikrullah. Tiada suami atau
emak dan abah yang melintas dalam fikiran saya ketika itu. Yang ada hanyalah
nama Allah serta kekuatan yang tiba-tiba datang untuk berjumpa kekasih hati.
Bagaimana rasanya contraction? Tak mampu saya gambarkan. Apa yang
boleh saya katakan ialah pinggang saya seperti dipatah-patahkan. Kemudian
kesakitan itu seolah-olah bergerak ke bawah. Kemudian ia hilang. Sakitnya
bersilih ganti. Sekejap terasa di sebelah kiri pinggang, sekejap terasa di
kanan pinggang. Allahu. Tidak tergambar dengan perkataan. Sangat sakit!
Setiap sejam, doktor datang memeriksa bukaan jalan dan saya hanya
mampu menggeleng apabila mereka berkata, baru 4cm. Masa tu, saya tak mampu
berfikir apa-apa kerana terlalu sakit. Saya baring mengerekot, sakit. Saya
luruskan kaki, sakit. Memang tidak dapat digambarkan sakitnya! Tapi dalam
kesakitan, saya sempat mengira waktu; mungkin anak syurga aku lahir pada pagi
Jumaat! Saya seronok.
Pukul 2.30 pagi, bukaan jalan hanya 5cm. Allah, dan ‘sakit’, adalah
2 perkataan yang saya mampu sebut. Doktor yang memeriksa saya tadi datang.
Katanya, “Puan, kami terpaksa menjalankan pembedahan sebab takut anak puan
lemas. Air ketuban makin kurang.” Seingat saya, saya jawab, “Cepat doktor. Saya
nak anak saya!” Selepas suami saya dimaklumkan (suami menunggu saya sejak pukul
4 petang semalam), pukul 3 pagi, saya ditolak ke bilik bedah. Keluar sahaja
dari wad bersalin, suami menerpa. Suami
mengiringi saya ke bilik bedah. Saat itu, perasaan saya bercampur baur. Antara
takut, dan tidak sabar untuk berjumpa kekasih hati. Suami senyum, namun riak
wajahnya kelihatan amat gusar.
Saya menandatangi borang-borang dan bersoal jawab dengan doktor.
Saya dicucuk bius pada tulang belakang, dan kemudian, secerah-cerah bilik
pembedahan itu terasa gelap pada pandangan saya.
27 Februari 2015, 4.23 pagi.
Saya hanya terjaga apabila terdengar suara bayi saya sayup-sayup.
Mulanya suaranya seperti tersekat-sekat, tetapi kemudian lancar. Saya dengar
suara doktor mengucapkan Alhamdulillah. Saya dengar dengan jelas suara mereka
yang mengatakan anak saya putih dan gebu. Air mata menitis. Alhamdulillah. Saya
kini telah bergelar seorang ibu! Doktor datang. Dia meletakkan bayi saya di
sisi kiri saya. “Puan, cuba puan tengok, anak puan ni lelaki ke perempuan?”
Saya toleh ke kiri. Bayi lelaki di sisi saya ini anak saya? Beginikah rupa anak
yang selama ini saya kandungkan? Subhanallah. Kecil matanya. Putih gebu
kulitnya. Sempurna sifatnya. Saya cium dia. Ciuman pertama ibu untuk anak ibu.
Masih terasa lagi kelembutan kulitnya. Gugur air mata saya. Hilang semua
kesakitan saya. Hilang semua kegusaran saya. Hilang semua penat saya
mengandungkannya seorang diri di tempat orang. (Saat menaip ini pun air mata
sedang mengalir! Saya rindu saat itu)
Bayi saya ditolak keluar dahulu, dan selepas sejam, barulah saya
ditolak keluar. Dalam perjalanan ke wad bersalin itu, saya nampak suami saya.
Saya nampak emak dan abah saya. Semua mereka sedang tersenyum. Suami mengiringi
saya ke katil saya. Selepas itu, saya terus tertidur selepas berjuang hampir 9
jam di Bilik Bersalin, dan 2 jam di Bilik Bedah.
Kata emak, sebaik sahaja suami selesai mengazankan anak kami, azan
Subuh berkumandang. Sungguh indah
perasaan saya ketika itu. 7 pagi, bayi saya ditolak ke katil saya. Pertemuan
kali kedua, tetapi kali
pertama saya menatap wajahnya sepenuh hati.
Ahmad Hadif Furqan, semoga akhlakmu seindah namamu!
Ahmad Hadif Furqan, day 1.
No comments:
Post a Comment