Friendly Friends

August 25, 2015

Rindu

Menjelang detik perpisahan dengan Furqan, ibu jadi sangat susah hati. Ikutkan hati, mau je ibu mogok. Tak nak keluar bilik, tak nak jumpa siapa-siapa pun sebab semua orang akan tanya; “Qirah nanti tinggal anak la ye? Kesiannya.. sabar jelah.” Mereka hanya mampu ucapkan sabar sebab mereka tak pernah rasa pedih berjauhan dengan anak. Bukan sehari, bukan seminggu, tapi sebulan! Tapi sayang, mengenangkan Furqan masih meneguk susu ibu, ibu gagahkan memakai topeng berpura-pura sabar dan kuat. Semuanya demi anak ibu.
Setiap malam sayang, ibu akan menangis. Ibu tak mampu memikirkan apa yang akan berlaku pada kita pada masa yang akan datang. Ibu benar-benar tak mampu berjauhan dari sayang. Alangkan sekejap pun tinggal Furqan ibu dah sasau. Teringatkan sayang. Inikan pula ibu terpaksa berjauhan lama dengan sayang.

Setiap malam, ibu selalu terjaga. Ibu tatap lama-lama wajah Furqan. Sejuk perut ibu mengandungkan Furqan. Tenang wajah Furqan semasa tidur. Ibu cium Furqan. Semerbak bau Furqan buat  ibu rasa makin rindu walaupun pada masa tu, Furqan hanya tidur bersebelahan ibu. Kemudian, ibu pandang wajah abah Furqan. Tergambar keletihan di raut wajahnya. Ibu faham keletihan yang abah Furqan lalui. Tapi sayang, demi sayang, kami sanggup berkorban segalanya yang ada pada kami. Walau nyawa kami jadi taruhan, Furqan tetap jadi keutamaan.

Ibu jadi lemah dalam membilang hari. Ibu tak biasa berjauhan dari Furqan! 9 bulan lepas, Furqan dekat sangat dengan ibu. Denyut jantung Furqan ibu hitung setiap hari. Sedu Furqan buat ibu senang hati. Tendangan Furqan amat ibu sukai. Tak pernah sekali pun ibu menyesal membawa Furqan dalam perut ibu walau ibu sering sakit-sakit. Sakit mengandungkanmu, sayang. Bengkak kaki ibu sayang. Furqan bayangkan, ibu selalu pakai kasut saiz 4, tapi di akhir waktu mengandungkan Furqan, ibu terpaksa tukar kasut ibu ke saiz 8. Ibu menanggung sakit, berjaga malam seorang diri kerana tidur yang tidak selesa. Ibu ambil minyak angin, ibu urut sendiri bahagian tubuh yang sakit dan tidak selesa. Masa tu sayang, ibu jadi kuat demi Furqan. Abah tiada bersama kita sebab tuntutan kerja. Dan disebabkan tuntutan kerja ibu inilah, kita terpaksa berjauhan.

Bila Furqan minta sesuatu, ibu cuba sediakan, sayang. Ada waktunya Furqan minta murtabak, ibu tebalkan muka minta kawan ibu tolong belikan ayam. Ibu buat sendiri untuk Furqan. Masa Furqan minta nasi tomato, bertungkus-lumus ibu cuba sediakan untuk Furqan. Ibu masakkan Furqan nasi tomato, ayam masak merah, lengkap dengan acar nenas dan telur rebus serta dalca sayur. Ada waktu Furqan minta keli sambal, masa tu air mata ibu meleleh. Sini tak ada keli, sayang. Ibu usap Furqan dari luar. Ibu minta Furqan bersabar. Balik rumah nanti abah tunaikan untuk kita. Allah titipkan kesabaran dalam diri kita, sayang. Kita mampu bersabar sehingga ibu bawa Furqan pulang bertemu abah. Tapi saat ini, ibu tak ada kekuatan dan kesabaran tu, sayang. Kerana sayang tiada bersama ibu.

Malam-malam ibu hanya bertemankan Furqan. Furqan masih ingat lagi alunan suara ibu membaca surah Luqman kepada Furqan setiap malam? Furqan ingat lagi nasyid bertajuk Ayah Ibu yang ibu mainkan sebelum kita tidur? Furqan masih ingat suara ibu membawa kisah-kisah Nabi kepada Furqan setiap kali selepas Maghrib? Masihkah Furqan ingat? Kini, malam ibu kosong. Ibu sunyi. Ibu rindu senyuman Furqan. Ibu rindu tangisan Furqan. Malah, ibu rindu tendangan Furqan dalam perut ibu suatu masa dahulu!

Ibu tak manjakan sayang. Ibu ajar anak ibu jadi kuat. Ibu pilih nama ‘Furqan’ untuk sayang ada sebabnya, sayang. Dahulu, ibu sangat suka nama Faris. Tapi satu hari, ibu buka Al-Quran, ibu terbuka halaman surah Al-Furqan. Masa tu ibu tengah menangis rindukan abah Furqan. Sebaik terpandang perkataan Furqan, ibu terus berhenti menangis. Kekuatan yang datang entah dari mana. Sejak dari hari tu, ibu beritahu abah. Anak kita nanti ibu nak namakannya Furqan. Sebab Furqan adalah kekuatan ibu. Furqan adalah sebab untuk ibu berjuang. Furqan penghilang segala kesakitan ibu. Demi Furqan, ibu sanggup korbankan nyawa ibu.
 
Jalan ke sekolah tempat ibu mengajar teruk sangat. Setiap kali melalui jalan yang berlopak atau berbatu besar, ibu peluk erat Furqan dalam perut ibu. Ibu takut tidur Furqan terganggu sebab hentakan itu. Tapi ibu tahu, anak ibu anak yang tabah. Yang berjuang untuk hidup untuk bertemu abah dan ibu. Tapi sekarang, Furqan tiada dengan ibu. Ibu rasa lain sangat. Ibu rasa kehilangan yang amat sangat yang tak pernah ibu rasa sebelum ni sepanjang hayat ibu.

Jangankan segunung intan, nyawa ibu sanggup ibu korbankan!

Furqan,

Malam sebelum ibu tinggalkan Furqan, ibu tak berdaya bangun. Lemah lutut ibu untuk berdiri. Apatah lagi masa tu Furqan tengah menyusu. Furqan terlelap di sisi ibu. Ibu sudah sehabis daya membeli masa. Ibu tangguh pemergian ibu ke Sarawak untuk meluangkan masa bersama anak ibu. Ibu buang RM900 untuk membeli tiket. Tapi sayang, jika masa untuk bersamamu bernilai sebanyak sejuta ringgit pun ibu sanggup sayang. Tapi semua orang menuntut ibu agar kembali bertugas. Ibu tak berpeluang lagi menawar masa untuk melihat perkembangan Furqan. Ibu bangun, ibu salin baju. Furqan terjaga. Abah angkat Furqan masuk buaian. Tapi Furqan terjaga. Ibu mula susah hati. Bagaimana harus ibu melangkah sayang? Ibu pakai baju seadanya. Tok suruh ibu letak baju yang ibu dah pakai di atas dada Furqan. Terus Furqan capai dan cium. Allah. Luluh amat hati ibu melihat Furqan. Ibu tunduk cium Furqan. Furqan tengok ibu lama-lama. Ibu tak sanggup lagi Furqan! Lebih lama ibu tatap Furqan, lebih berat hati ibu untuk keluar. Disebabkan itu, ibu lari masuk ke dalam kereta. Ibu cium bantal yang selalu Furqan guna. Ibu menangis semahu-mahunya. Ibu curi pandang abah, dan ibu nampak air mata turut mengalir di wajah abah…

Ibu rindu, sayang…

Mujur Allah tahu yang ibu penat dan terlalu bersedih. Dia rehatkan ibu hampir sepanjang perjalanan. Tapi bila ibu terjaga, ibu cari Furqan. Ibu cari kelibat Furqan. Ibu rasa macam terdengar-dengar Furqan merengek minta susu. Setiap masa sewaktu ibu terjaga, ibu akan tanya abah; “Agak-agak Furqan cari ayang tak?” Abah Furqan akan setia menjawab, “Tak sayang.. anak kita tengah tidur…” Padahal waktu tu ibu yakin anak ibu akan terjaga. Ibu hafal jadual tidur anak ibu.

Akhirnya, ibu berlepas ke Sarawak dengan air mata yang berjurai-jurai.
Sayang, ketika ibu sampai di lapangan terbang, air susu ibu menitis laju. Malah lagi teruk, ibu bengkak susu. Yelah, anak ibu terakhir menyusu dengan ibu pukul 10 malam semalam. Ibu rasa pedih menusuk-nusuk. Sebab ibu tau, air susu yang mengalir ini tandanya anak ibu tengah cari ibu. Ibu tak dapat bayangkan bagaimana Furqan melalui malam semalam tanpa ibu. Bagaimana tidurmu semalam tanpa ibu, sayang? Nyenyakkah tidurmu? Mimpikan ibukah tidurmu? Tidak tercarikah bau ibumu? 

Ibu cepat-cepat keluarkan susu milikmu, Furqan. Penuh sebotol sehingga hendak melimpah. Deras mengalir seperti derasnya mengalir air mata ibu. Ibu bayangkan wajah Furqan, ibu bayangkan seperti Furqan sedang menyusu. Ibu rindu, sayang. 

Tiada sehari pun yang berlalu tanpa tangisan rindu padamu.
Setiap detik ibu rindu pada Furqan.
Setiap masa ibu rindu kehalusan kulit Furqan.
Setiap penjuru ibu terbayang wajah Furqan.
Setiap bunyi ibu sangka suara Furqan.
Setiap kali ibu menyuap makanan, ibu teringat anak ibu, sudah makankah anak ibu?
Ibu terseksa.
Ibu rindu Furqan.
Rindu yang kalau diceritakan, sakitnya melebihi sakit bersalinkanmu.
Rindu yang kalau diceritakan, pedihnya serasa mahu mati.
Mahu sahaja ibu meraung dan hilang pedoman.
Mahu sahaja ibu lari, lari tinggalkan tempat ini.
Tapi yang mengikat kaki ibu di sini ialah secebis rasa amanah terhadap tugas ibu. Ibu rasa berdosa kerana mengabaikanmu.
Maafkan ibu, sayang..
Maafkan ibu..
Ibu sayang Furqan..

Semoga Allah beri peluang kepada ibu untuk membesar dan mendidik Furqan bersama abahmu.

August 23, 2015

Detik Kelahiran Ahmad Hadif Furqan (Induce, Contraction, Emergency Ceaserean)

25 Februari 2015
Pagi. Bertemankan suami, saya ke Klinik Kesihatan Kangar untuk rutin pemeriksaan kandungan. Masa scan, Alhamdulillah. Tiada masalah. Kandungan sihat. Tapi, bila doktor tanya sama ada saya mengalami masalah atau tidak, saya kata bayi kurang bergerak. Padahal kalau difikirkan logik, memang bayi kurang bergerak sebab masa tu dah 39 weeks. Bayi dah memenuhi ruang. Dan disebabkan jawapan itulah, saya dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar!

Prosedur memeriksa denyut jantung bayi berjalan seperti biasa. Bayi tiada masalah. Bukaan cervix juga tiada. Tapi, saya hingga sekarang masih berfikir, kenapa doktor suruh saya induce sedangkan saya ada lagi seminggu due? Bayi saya juga Alhamdulillah, sihat. Suami pada mulanya berkeras untuk membawa saya pulang. Katanya, belum sampai waktu melahirkan. Bayi masih selesa. Sampai waktunya nanti, tidak perlu dipaksa. Tapi setelah lama suami berfikir, suami izinkan, dengan meminta pelepasan sebentar untuk membawa saya makan tengah hari. 

Pukul 2.30 petang, saya check in di Wad Bersalin HTF. Walaupun saya seorang pegawai kerajaan, tiada keistimewaan wad kelas 1 disediakan kerana wad bersalin di hospital ini masih dalam proses pembinaan. Mulanya saya dapat bilik seorang  diri, lengkap bilik air. Tapi mungkin itu bilik rehat para staf wad bersalin, jadi pada pukul 6.30 petang, saya dipindahkan ke wad biasa. Pukul 9 malam, saya mendapat arahan untuk berpuasa pada pagi esoknya kerana ubat akan dimasukkan.

26 Februari 2015.
Sebaik sahaja saya selesai mandi pada pukul 7 pagi, saya dipanggil ke bilik doktor untuk di-induce. Allahu. Sakit yang tidak dapat saya gambarkan. Hingga hari ini, masih dapat saya rasa kesakitan itu. Selepas dimasukkan ubat, saya dibenarkan berehat sebentar sebelum diminta balik ke katil semula. Pukul 2 petang, saya dipanggil semula untuk diperiksa bukaan jalan. Masa itu, suami menunggu saya di luar bilik doktor kerana kebetulan pada waktu melawat. Doktor kali ini lebih kasar. Saya yakin jeritan saya didengari di seluruh wad. Sumpah. Sakit! Meleleh air mata, tapi mengenangkan perjuangan untuk melahirkan lebih memerlukan tenaga, saya cengkam tangan nurse, minta dipinjamkan kekuatan. Air mata meleleh. Sakit yang tidak terkira. Bila saya keluar, saya dapat lihat kegusaran di wajah suami. Dengan penuh kasih sayang, dia memimpin saya berjalan sambil meminta saya bersabar. Katanya, sekejap sahaja lagi, kesakitan itu akan hilang kerana saya akan bertemu kekasih hati yang sudah 9 bulan saya kandungkan.

Pukul 4 petang, doktor memanggil saya semula untuk memeriksa bukaan jalan. Baru 3 cm. tapi saya diminta bersedia untuk ke Bilik Bersalin kerana katanya waktu itu lengang. Tiada orang. Masa itu, Allah je tahu betapa berdebarnya saya. Saya akan bertemu kekasih saya sebentar lagi! Bagaimana rupanya? Adakah kulitnya cerah? Adakah matanya bulat seperti mata saya, atau kecil seperti mata suami? Lebatkah rambutnya? Gebukah badannya? Paling saya fikirkan, sempurnakah sifat penciptaannya? 

Saya diminta untuk membawa sekali pakaian bayi untuk dipakaikan kepada bayi saya. Jenuh juga saya memeriksa beg baju, memilih pakaian pertama untuk anak saya. Akhirnya, sepasang baju putih menjadi pilihan sebagai pakaian pertama untuk anak saya.

Saya telefon suami. Katanya, dia masih di luar Wad Bersalin. Mak juga ada bersama. Saya telefon, minta mereka masuk temani saya. Kemudian saya telefon abah di rumah. Maklumkan bahawa saya sudah sedia untuk bertarung nyawa. Saya mohon ampun dan maaf kepada abah. Saya mohon dihalalkan segala makan minum yang telah abah beri pada saya sepanjang saat beliau membesarkan saya. Abah cakap, abah halalkan semua. Abah ampunkan salah silap saya. Abah doakan saya selamat melahirkan khalifah kecil ini. Kemudian, suami saya masuk. Saya menangis. Saya cium tangan suami. Saya mohon ampun dan maaf pada suami. Saya mohon dia redha saya dipilih Allah sebagai isterinya. Sebagai balasan, dia mengusap kepala saya dan mengiakan semua kata-kata saya. Sebak. 

Kata nurse, suami tidak dibenarkan masuk menemani saat pertarungan dan perjuangan saya nanti. Terkilan rasanya kerana kami sudah merancang untuk bertemankan suami. Tapi akur juga, kerana itu wad bersalin terbuka. Aurat wanita lain harus dipelihara dan dihormati. Saya risau. Saya perlukan suami saya di sisi saya nanti. Kemudian emak saya masuk. Saya buat perkara yang sama. Ada bisikan yang mengatakan, lepas ni, semuanya akan berubah. Kau akan menjadi ibu. Kau akan rasa apa yang ibu kau rasa. Selamat datang ke alam keibuan!

Pukul 4.45 petang, saya diiringi nurse ke Bilik Bersalin. Ngeri rasanya mendengar jeritan dan rintihan wanita lain yang sedang bertarung nyawa. Pukul 5 petang tepat, doktor datang untuk memecahkan air ketuban. Panas. Saat itu saya tahu, perjuangan saya bakal bermula!

Sekitar pukul 7 malam, saya mula merasakan apa itu sakit contraction. Sakit yang datang sekejap-sekejap. Saya mengikut nasihat nurse untuk menjaga pernafasan. Tidak mampu saya lupa betapa panasnya suasana di dalam Bilik Bersalin pada waktu itu kerana pendingin hawanya rosak! Saya mengadu pada nurse bahawa saya panas. 2 orang daripada mereka datang mengipas saya dengan buku. Diusapnya tangan saya, mohon saya bertenang dan kuat. Peluh di dahi, mereka yang tolong lapkan. Sehinggalah pada pukul 9 malam, nurse yang menjaga saya meminta diri untuk pulang dan berdoa agar saya dapat terus kuat dalam berjuang. Terima kasih, nurse!

Pukul 10 malam, contraction terasa makin kuat. Namun air mata saya tidak menitis. Bibir tidak berhenti mengucapkan zikrullah. Tiada suami atau emak dan abah yang melintas dalam fikiran saya ketika itu. Yang ada hanyalah nama Allah serta kekuatan yang tiba-tiba datang untuk berjumpa kekasih hati.

Bagaimana rasanya contraction? Tak mampu saya gambarkan. Apa yang boleh saya katakan ialah pinggang saya seperti dipatah-patahkan. Kemudian kesakitan itu seolah-olah bergerak ke bawah. Kemudian ia hilang. Sakitnya bersilih ganti. Sekejap terasa di sebelah kiri pinggang, sekejap terasa di kanan pinggang. Allahu. Tidak tergambar dengan perkataan. Sangat sakit!

Setiap sejam, doktor datang memeriksa bukaan jalan dan saya hanya mampu menggeleng apabila mereka berkata, baru 4cm. Masa tu, saya tak mampu berfikir apa-apa kerana terlalu sakit. Saya baring mengerekot, sakit. Saya luruskan kaki, sakit. Memang tidak dapat digambarkan sakitnya! Tapi dalam kesakitan, saya sempat mengira waktu; mungkin anak syurga aku lahir pada pagi Jumaat! Saya seronok.

Pukul 2.30 pagi, bukaan jalan hanya 5cm. Allah, dan ‘sakit’, adalah 2 perkataan yang saya mampu sebut. Doktor yang memeriksa saya tadi datang. Katanya, “Puan, kami terpaksa menjalankan pembedahan sebab takut anak puan lemas. Air ketuban makin kurang.” Seingat saya, saya jawab, “Cepat doktor. Saya nak anak saya!” Selepas suami saya dimaklumkan (suami menunggu saya sejak pukul 4 petang semalam), pukul 3 pagi, saya ditolak ke bilik bedah. Keluar sahaja dari wad bersalin, suami  menerpa. Suami mengiringi saya ke bilik bedah. Saat itu, perasaan saya bercampur baur. Antara takut, dan tidak sabar untuk berjumpa kekasih hati. Suami senyum, namun riak wajahnya kelihatan amat gusar.

Saya menandatangi borang-borang dan bersoal jawab dengan doktor. Saya dicucuk bius pada tulang belakang, dan kemudian, secerah-cerah bilik pembedahan itu terasa gelap pada pandangan saya.

27 Februari 2015, 4.23 pagi.
Saya hanya terjaga apabila terdengar suara bayi saya sayup-sayup. Mulanya suaranya seperti tersekat-sekat, tetapi kemudian lancar. Saya dengar suara doktor mengucapkan Alhamdulillah. Saya dengar dengan jelas suara mereka yang mengatakan anak saya putih dan gebu. Air mata menitis. Alhamdulillah. Saya kini telah bergelar seorang ibu! Doktor datang. Dia meletakkan bayi saya di sisi kiri saya. “Puan, cuba puan tengok, anak puan ni lelaki ke perempuan?” Saya toleh ke kiri. Bayi lelaki di sisi saya ini anak saya? Beginikah rupa anak yang selama ini saya kandungkan? Subhanallah. Kecil matanya. Putih gebu kulitnya. Sempurna sifatnya. Saya cium dia. Ciuman pertama ibu untuk anak ibu. Masih terasa lagi kelembutan kulitnya. Gugur air mata saya. Hilang semua kesakitan saya. Hilang semua kegusaran saya. Hilang semua penat saya mengandungkannya seorang diri di tempat orang. (Saat menaip ini pun air mata sedang mengalir! Saya rindu saat itu)

Bayi saya ditolak keluar dahulu, dan selepas sejam, barulah saya ditolak keluar. Dalam perjalanan ke wad bersalin itu, saya nampak suami saya. Saya nampak emak dan abah saya. Semua mereka sedang tersenyum. Suami mengiringi saya ke katil saya. Selepas itu, saya terus tertidur selepas berjuang hampir 9 jam di Bilik Bersalin, dan 2 jam di Bilik Bedah.

Kata emak, sebaik sahaja suami selesai mengazankan anak kami, azan Subuh berkumandang.  Sungguh indah perasaan saya ketika itu. 7 pagi, bayi saya ditolak ke katil saya. Pertemuan kali kedua, tetapi kali pertama saya menatap wajahnya sepenuh hati.

Ahmad Hadif Furqan, semoga akhlakmu seindah namamu!

   Ahmad Hadif Furqan, day 1.