Menjelang
detik perpisahan dengan Furqan, ibu jadi sangat susah hati. Ikutkan hati, mau
je ibu mogok. Tak nak keluar bilik, tak nak jumpa siapa-siapa pun sebab semua
orang akan tanya; “Qirah nanti tinggal anak la ye? Kesiannya.. sabar jelah.”
Mereka hanya mampu ucapkan sabar sebab mereka tak pernah rasa pedih berjauhan
dengan anak. Bukan sehari, bukan seminggu, tapi sebulan! Tapi sayang,
mengenangkan Furqan masih meneguk susu ibu, ibu gagahkan memakai topeng
berpura-pura sabar dan kuat. Semuanya demi anak ibu.
Setiap
malam sayang, ibu akan menangis. Ibu tak mampu memikirkan apa yang akan berlaku
pada kita pada masa yang akan datang. Ibu benar-benar tak mampu berjauhan dari
sayang. Alangkan sekejap pun tinggal Furqan ibu dah sasau. Teringatkan sayang.
Inikan pula ibu terpaksa berjauhan lama dengan sayang.
Setiap
malam, ibu selalu terjaga. Ibu tatap lama-lama wajah Furqan. Sejuk perut ibu
mengandungkan Furqan. Tenang wajah Furqan semasa tidur. Ibu cium Furqan.
Semerbak bau Furqan buat ibu rasa makin
rindu walaupun pada masa tu, Furqan hanya tidur bersebelahan ibu. Kemudian, ibu
pandang wajah abah Furqan. Tergambar keletihan di raut wajahnya. Ibu faham
keletihan yang abah Furqan lalui. Tapi sayang, demi sayang, kami sanggup
berkorban segalanya yang ada pada kami. Walau nyawa kami jadi taruhan, Furqan
tetap jadi keutamaan.
Ibu
jadi lemah dalam membilang hari. Ibu tak biasa berjauhan dari Furqan! 9 bulan
lepas, Furqan dekat sangat dengan ibu. Denyut jantung Furqan ibu hitung setiap
hari. Sedu Furqan buat ibu senang hati. Tendangan Furqan amat ibu sukai. Tak
pernah sekali pun ibu menyesal membawa Furqan dalam perut ibu walau ibu sering
sakit-sakit. Sakit mengandungkanmu, sayang. Bengkak kaki ibu sayang. Furqan
bayangkan, ibu selalu pakai kasut saiz 4, tapi di akhir waktu mengandungkan
Furqan, ibu terpaksa tukar kasut ibu ke saiz 8. Ibu menanggung sakit, berjaga
malam seorang diri kerana tidur yang tidak selesa. Ibu ambil minyak angin, ibu
urut sendiri bahagian tubuh yang sakit dan tidak selesa. Masa tu sayang, ibu jadi
kuat demi Furqan. Abah tiada bersama kita sebab tuntutan kerja. Dan disebabkan
tuntutan kerja ibu inilah, kita terpaksa berjauhan.
Bila
Furqan minta sesuatu, ibu cuba sediakan, sayang. Ada waktunya Furqan minta
murtabak, ibu tebalkan muka minta kawan ibu tolong belikan ayam. Ibu buat
sendiri untuk Furqan. Masa Furqan minta nasi tomato, bertungkus-lumus ibu cuba
sediakan untuk Furqan. Ibu masakkan Furqan nasi tomato, ayam masak merah,
lengkap dengan acar nenas dan telur rebus serta dalca sayur. Ada waktu Furqan
minta keli sambal, masa tu air mata ibu meleleh. Sini tak ada keli, sayang. Ibu
usap Furqan dari luar. Ibu minta Furqan bersabar. Balik rumah nanti abah
tunaikan untuk kita. Allah titipkan kesabaran dalam diri kita, sayang. Kita
mampu bersabar sehingga ibu bawa Furqan pulang bertemu abah. Tapi saat ini, ibu
tak ada kekuatan dan kesabaran tu, sayang. Kerana sayang tiada bersama ibu.
Malam-malam
ibu hanya bertemankan Furqan. Furqan masih ingat lagi alunan suara ibu membaca
surah Luqman kepada Furqan setiap malam? Furqan ingat lagi nasyid bertajuk Ayah
Ibu yang ibu mainkan sebelum kita tidur? Furqan masih ingat suara ibu membawa
kisah-kisah Nabi kepada Furqan setiap kali selepas Maghrib? Masihkah Furqan
ingat? Kini, malam ibu kosong. Ibu sunyi. Ibu rindu senyuman Furqan. Ibu rindu
tangisan Furqan. Malah, ibu rindu tendangan Furqan dalam perut ibu suatu masa
dahulu!
Ibu
tak manjakan sayang. Ibu ajar anak ibu jadi kuat. Ibu pilih nama ‘Furqan’ untuk
sayang ada sebabnya, sayang. Dahulu, ibu sangat suka nama Faris. Tapi satu
hari, ibu buka Al-Quran, ibu terbuka halaman surah Al-Furqan. Masa tu ibu
tengah menangis rindukan abah Furqan. Sebaik terpandang perkataan Furqan, ibu
terus berhenti menangis. Kekuatan yang datang entah dari mana. Sejak dari hari
tu, ibu beritahu abah. Anak kita nanti ibu nak namakannya Furqan. Sebab Furqan
adalah kekuatan ibu. Furqan adalah sebab untuk ibu berjuang. Furqan penghilang
segala kesakitan ibu. Demi Furqan, ibu sanggup korbankan nyawa ibu.
Jalan
ke sekolah tempat ibu mengajar teruk sangat. Setiap kali melalui jalan yang
berlopak atau berbatu besar, ibu peluk erat Furqan dalam perut ibu. Ibu takut
tidur Furqan terganggu sebab hentakan itu. Tapi ibu tahu, anak ibu anak yang
tabah. Yang berjuang untuk hidup untuk bertemu abah dan ibu. Tapi sekarang,
Furqan tiada dengan ibu. Ibu rasa lain sangat. Ibu rasa kehilangan yang amat
sangat yang tak pernah ibu rasa sebelum ni sepanjang hayat ibu.
Jangankan
segunung intan, nyawa ibu sanggup ibu korbankan!
Furqan,
Malam
sebelum ibu tinggalkan Furqan, ibu tak berdaya bangun. Lemah lutut ibu untuk
berdiri. Apatah lagi masa tu Furqan tengah menyusu. Furqan terlelap di sisi
ibu. Ibu sudah sehabis daya membeli masa. Ibu tangguh pemergian ibu ke Sarawak
untuk meluangkan masa bersama anak ibu. Ibu buang RM900 untuk membeli tiket.
Tapi sayang, jika masa untuk bersamamu bernilai sebanyak sejuta ringgit pun ibu
sanggup sayang. Tapi semua orang menuntut ibu agar kembali bertugas. Ibu tak
berpeluang lagi menawar masa untuk melihat perkembangan Furqan. Ibu bangun, ibu
salin baju. Furqan terjaga. Abah angkat Furqan masuk buaian. Tapi Furqan
terjaga. Ibu mula susah hati. Bagaimana harus ibu melangkah sayang? Ibu pakai
baju seadanya. Tok suruh ibu letak baju yang ibu dah pakai di atas dada Furqan.
Terus Furqan capai dan cium. Allah. Luluh amat hati ibu melihat Furqan. Ibu
tunduk cium Furqan. Furqan tengok ibu lama-lama. Ibu tak sanggup lagi Furqan!
Lebih lama ibu tatap Furqan, lebih berat hati ibu untuk keluar. Disebabkan itu,
ibu lari masuk ke dalam kereta. Ibu cium bantal yang selalu Furqan guna. Ibu menangis
semahu-mahunya. Ibu curi pandang abah, dan ibu nampak air mata turut mengalir
di wajah abah…
Ibu
rindu, sayang…
Mujur
Allah tahu yang ibu penat dan terlalu bersedih. Dia rehatkan ibu hampir
sepanjang perjalanan. Tapi bila ibu terjaga, ibu cari Furqan. Ibu cari kelibat
Furqan. Ibu rasa macam terdengar-dengar Furqan merengek minta susu. Setiap masa
sewaktu ibu terjaga, ibu akan tanya abah; “Agak-agak Furqan cari ayang tak?”
Abah Furqan akan setia menjawab, “Tak sayang.. anak kita tengah tidur…” Padahal
waktu tu ibu yakin anak ibu akan terjaga. Ibu hafal jadual tidur anak ibu.
Akhirnya,
ibu berlepas ke Sarawak dengan air mata yang berjurai-jurai.
Sayang,
ketika ibu sampai di lapangan terbang, air susu ibu menitis laju. Malah lagi
teruk, ibu bengkak susu. Yelah, anak ibu terakhir menyusu dengan ibu pukul 10
malam semalam. Ibu rasa pedih menusuk-nusuk. Sebab ibu tau, air susu yang
mengalir ini tandanya anak ibu tengah cari ibu. Ibu tak dapat bayangkan
bagaimana Furqan melalui malam semalam tanpa ibu. Bagaimana tidurmu semalam
tanpa ibu, sayang? Nyenyakkah tidurmu? Mimpikan ibukah tidurmu? Tidak
tercarikah bau ibumu?
Ibu
cepat-cepat keluarkan susu milikmu, Furqan. Penuh sebotol sehingga hendak
melimpah. Deras mengalir seperti derasnya mengalir air mata ibu. Ibu bayangkan
wajah Furqan, ibu bayangkan seperti Furqan sedang menyusu. Ibu rindu, sayang.
Tiada sehari pun yang berlalu tanpa tangisan rindu padamu.
Setiap detik ibu rindu pada Furqan.
Setiap masa ibu rindu kehalusan kulit Furqan.
Setiap penjuru ibu terbayang wajah Furqan.
Setiap bunyi ibu sangka suara Furqan.
Setiap kali ibu menyuap makanan, ibu teringat anak ibu, sudah
makankah anak ibu?
Ibu terseksa.
Ibu rindu Furqan.
Rindu yang kalau diceritakan, sakitnya melebihi sakit
bersalinkanmu.
Rindu yang kalau diceritakan, pedihnya serasa mahu mati.
Mahu sahaja ibu meraung dan hilang pedoman.
Mahu sahaja ibu lari, lari tinggalkan tempat ini.
Tapi yang mengikat kaki ibu di sini ialah secebis rasa amanah
terhadap tugas ibu. Ibu rasa berdosa kerana mengabaikanmu.
Maafkan ibu, sayang..
Maafkan ibu..
Ibu sayang Furqan..
Semoga Allah beri peluang kepada ibu untuk membesar dan mendidik
Furqan bersama abahmu.