Friendly Friends

April 18, 2011

Ikan patin liar diakui mahal

JERANTUT 17 April - Harga ikan patin liar diakui mahal di pasaran berikutan spesies berkenaan sukar diperolehi selain rasanya yang enak.
Perkara itu diakui seorang nelayan Sungai Tembeling, Adenan Nipah, 55, yang menjadikan kerja-kerja menangkap ikan air tawar sebagai sumber pendapatannya sejak 35 tahun lalu.
Menurutnya, ikan patin merupakan antara spesies paling laris di pasaran pada masa kini.
''Kebiasaannya, saya menjual ikan patin muncung dan patin buah dengan harga antara RM100 hingga RM120 sekilogram, malah boleh mencecah hingga RM150 sekilogram berdasarkan permintaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Pagi, dekat sini baru-baru ini.
Adenan mengulas laporan akhbar baru-baru ini berhubung sekumpulan pelanggan yang dikenakan bayaran RM13,000 bagi hidangan ikan patin ketika makan tengah hari di sebuah restoran di bandar Temerloh, baru-baru ini.
Adenan yang mempunyai permit menangkap ikan air tawar daripada Jabatan Perikanan berkata, kadangkala pelanggan menganggap penjual ikan patin sengaja menaikkan harga untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesukaran menangkap spesies berkenaan.
Jelasnya, kelazatan ikan patin sungai berbeza dengan spesies yang diternak di kolam dan sangkar sehingga ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha restoran, hotel dan chalet di Taman Negara dan bandar Jerantut.
''Jika nelayan sungai di sini menjual RM120 sekilogram, bermakna pengusaha restoran atau hotel perlu menjual dengan kadar melebihi harga belian.
''Kami dan pengusaha restoran bukan berniat untuk mengaut keuntungan, tetapi pelanggan perlu memahami yang spesies ini memang mahal dan berkualiti," jelasnya.
Seorang penduduk, Mohammad Razman Sidek, 36, berkata, dia pernah terperangkap dengan harga ikan patin sungai yang dimasak tempoyak ketika makan tengah hari bersama keluarganya di sebuah restoran bandar ini.
''Setelah dikira kembali memang munasabah saya kena bayar RM350 untuk hidangan seramai lapan ahli keluarga kami dengan kadar antara RM35 hingga RM40 seketul ikan patin," katanya.
Sehubungan itu, dia menyarankan setiap pelanggan perlu bertanya terlebih dahulu harga ikan patin sungai sebelum memesan masakan tersebut.

credit: Utusan Online

No comments: